Minggu, 20 Desember 2009

Konsep Muhkam/Mutashabih Dari Saidina Ali r.a.

Oleh: Khalid Yong, khalidyong@gmail.com

Pendahuluan
Alhamdulillah, bersyukur kita dapat bertemu lagi.

Siri kajian kita kali ini akan menyentuh beberapa teori seperti teori CEMI, dan teori "knowledge compression". Ianya mungkin sedikit sukar untuk difahami sebab penerangannya terlalu rengkas. Namun tidak mengapa sebab kita akan kembali membincangkan setiap konsep dan teori ini dengan lebih mendalam dan terperinci di siri-siri akan datang.

Kita bawakan teori-teori ini secara sepintas lalu untuk menjelaskan kepentingan “konsep Muhkam/Mutashabih”, kenapa ianya mesti difahami betul-betul, dan kenapa jangan campur-aduk dengan fahaman “lama” yang ada dalam kebanyakkan kitab ulumul Quran. Juga jangan campur-aduk dengan pelbagai cara tafsir lain seperti Lafziyah, harfiyah, maudu’, tematik, semantik, sintaktik, exegesis, bil ma’thur, bil ra’, dan sebagainya (kita akan bincang kemudian).

Konsep baru Muhkam/Mutashabih ini telah diedarkan kepada lebih 300 cendikiawan Islam, dan dibentangkan di 2 konferans antarabangsa. Walaupun konsep ini berbeza dari apa yang terdapat pada kitab Ulumul Quran, namun ianya 100% berasaskan ayat-ayat Al-Quran, dan apa yang ditunjukkan oleh Saidina Ali r.a.

Kenapa “Konsep Muhkam/Mutashabih” ditafsir Semula
Sebagaimana yang dijelaskan pada siri lepas, sekarang kita melihat Al-Quran dari 2 perspektif yang berbeza: Perspektif Agama, dan perspektif ICT. Saya tidak mahu mengulas tentang tafsiran yang ada dalam kebanyakan kitab Ulumul Quran yang dibuat melalui perspektif agama.

Dari perspektif ICT, konsep Muhkam/Mutashabih adalah satu mukjizat besar, maha agong. Kita memahami konsep ini dari ayat-ayat Al-Quran seperti ayat 11:1, 39:23, dan 3:7. Kita juga mengambil pengajaran dari kesah Saidina Ali r.a. yang menjawab pertanyaan ayat-ayat 51:1-4. Sekiranya makna Mutashabih adalah dilarang dalam Islam, maka Saidina Ali r.a. akan melarang Ibn Al-Kawwa’ bertanyakannya, dan Saidina Ali r.a. sama sekali tidak akan menjawab secara makna mutashabih (makna konsep atau makna yang seakan-akan sama makna).

Oleh kerana Saidina Ali r.a. adalah seorang pakar dan hebat dalam ilmu Al-Quran dan Hadith, maka kita boleh simpulkan Islam tidak melarang sama sekali sesiapa mengkaji “ayat mutashabih”, malah dengan ilmu pengetahuan yang tinggi kita boleh memberi “makna mutshabih” kepada ayat-ayat Al-Quran setelah kita mengetahui “makna muhkamnya”.

Dari peristiwa ini juga, kita boleh simpulkan setiap ayat Al-Quran ada dua unsur utama iaitu “unsur Muhkam”, dan “unsur Mutashabih”. Saidina Ali tidak membezakan antara ayat Muhkam dan ayat Mutashabih, maka ini menunjukkan setiap ayat Quran memang terdapat “makna Muhkam” dan “makna Mutashabih”, iaitu menepati kahendak ayat 11:1 dan 39:23.

Teori CEMI “Over-Haul” Konsep dan Sistem Pendidikan
Teori CEMI yang diasaskan oleh Johnjoe McFadden nampak seperti selari dengan kahendak ayat-ayat Al-Quran Az-Zaariyat 51:1-4. Kita tidak salahkan McFadden sebab membuat satu teori yang sama seperti dalam Al-Quran, kita juga tidak salahkan para ulama "kenapa tidak mengeluarkan teori CEMI ini" sebab teori ini diluar kemampuan dan bidang ilmu mereka. Ini adalah tugas dan tanggong-jawab kita bersama, kerajaan, universiti, JAKIM, alim ulama, Saintis, ICTis, dan sebagainya.

Mengikut kajian saya, teori ini sangat hebat, meluas serta mendalam impaknya. Impaknya lebih hebat dari impak ICT kepada manusia yang merubah cara manusia bekerja, berhibur, berhubung, berfikir, dan sebagainya. Ianya akan merubah halatuju, dasar, dan sistem pendidikan dunia: Pedagogi, methodologi, kurikulum, penilaian, pengreddan, semuanya kena tukar, kena “revamp”, kena “over-haul”. Kemungkinan besar Taksonomi Bloom sudah tidak relevan lagi. Pendidikan kognitif, saikomotor, dan afektif tidak berlaku secara "fizikal", secara "pengalaman dalam kelas", tetapi sebahagian besar “pendidikan” berlaku pada tahap nano, tahap subliminal, tahap “ghaib”.

Untuk memahami ayat-ayat Al-Quran yang digunakan dalam teori CEMI ini, maka kita semua mestilah berfikir, memahami dan mengkaji ayat-ayat Al-Quran berdasarkan "konsep baru Muhkam/Mutashabih", bukannya konsep lama yang berbentuk "mutually exclusive".

“Knowledge Compresssion Theory (KCT)”
Bagaimana Allah SWT mampatkan 10 lautan-dakwat ilmu (kira-kira 1,300 trilion buah buku) ke dalam Al-Quran yang hanya setebal kira-kira 500 m/s (kira-kira 6326 ayat)? Apakah Rahsianya? Bagaimana Konsep baru Muhkam/Mutashabih mampu melakukannya?.

Untuk memahami “Knowledge Compression Theory” atau KCT, maka kita mestilah memahami konsep Muhkam/Mutashabih dari perspektif "ICT", perspektif deduktif, iaitu 3-Dimension Venn Diagram. Secara rengkasnya: Ayat Quran => Makna Muhkam => Makna Mutashabih1 => Makna Mutashabih2 ....

Kita tidak boleh lagi memahami konsep Muhkam/Mutashabih seperti yang diterangkan di dalam kebanyakkan kita Ulumul Quran iaitu yang bersifat “mutually exclusive” iaitu setiap ayat Al-Quran diklasifikasikan samada “ayat Muhkam” atau “ayat Mutashabih”, tetapi mestilah difahamkan sebagai “mutually inclusive” Venn diagram. Masalah dengan konsep lama ialah ada sesetengah para ulama yang berselisih pendapat untuk menentukan ayat mana yang muhkam dan ayat mana yang mutashabih. Tetapi sebagaimana yang ditunjukkan oleh Saidina Ali r.a., kita tidak perlu berselisih pendapat, tidak perlu bergaduh, sebab dalam setiap ayat Al-Quran ada kedua-duanya sekali iaitu Muhkam dan Mutashabih.

Sekiranya konsep Muhkam/Mutashabih difaham secara konsep “lama” maka KCT tidak dapat berlaku, apabila KCT tidak dapat berlaku maka "Quran tidak akan dapat menjelaskan segala-galanya". Untuk membolehkan KCT berlaku, maka konsep muhkam/mutashabih mestilah difahami mengikut “perspektif ICT” seperti yang ditunjukkan oleh Saidina Ali r.a.

Untuk memahami KCT, mungkin ada baiknya kita memahami serba sedikit konsep “video compression”.

Video Compression
Bagaimana komputer boleh mampatkan video/filem sehingga 90%? Bagaimana filem video (gambar bergerak) yang memerlukan 30 frames/saat atau kira-kira 3.5MB/saat, boleh dimampatkan hanya dengan 0.35MB/saat tanpa menjejaskan kualiti video yang dimainkan? Tanpa mampatan ini filem video tidak akan dapat dimainkan pada layar komputer, dan “broadband” anda akan “jammed”!

Apa rahsianya? Cuba perhatikan tayangan filem di TV, tidakkah anda lihat bahagian yang “bergerak dan berubah” pada setiap layar (screen) hanya sedikit sahaja, kira-kira 5-10% sahaja. Selalunya “background” tidak bertukar, yang bertukar atau bergerak-gerak hanyalah mulut, mata, tangan, dan lain-lain, maka gambar “background” yang tidak berubah tidak perlu dihantar banyak kali, sebab gambar “background” ini sudah ada komputer, hanya perlu “refresh” dari memori. Yang perlu dihantar atau dikemaskini ialah bahagian gambar yang bergerak. Tidakkah ini satu konsep yang genius, pintar?

Adakah Al-Quran juga menggunakan konsep mampatan yang sama? Cuba kita sama-sama fikirkan.

Ulangkaji
Sebelum kita melangkau lebih jauh, baik kita buat sedikit ulang kaji. Dari perspektif ICT, Al-Quran menjelaskan segala-galanya. Oleh itu ayat-ayat Al-Quran mestilah dikaji dan difahami berdasarkan Al-Quran Bil-Quran: “User Manual” dan “Quranpedia” mestilah diambil dari ayat-ayat Al-Quran. Perkara yang ke-2 ialah, ayat-ayat Al-Quran sama sekali tidak boleh difahami secara “takwil” (agak-agak,atau pakai teka saja). Ianya mestilah berdasarkan ilmu pengetahuan yang kukuh, boleh difahami oleh akal fikiran atau boleh dikaji di dalam makmal.

Konsep muhkam/mutashabih mestilah difahami mengikut ayat 11:1, 39:23, dan 3:7, dan pengajaran dari Saidina Ali r.a menjelaskan makna mutashabih ayat-ayat 51:1-4.


Definasi "Konsep Muhkam/Mutashabih"
Konsep Muhkam/Mutashabih yang disampaikan di sini mungkin berbeza dengan apa yang para pelajar belajar di bidang Tafsir Al-Quran. Para pelajar mungkin disuruh bezakan antara ayat Muhkam dan ayat Mutashabih. Ingat konsep muhkam/mutashabih dari perspektif ICT ialah berdasarkan “Venn Diagram”. Kita tidak membahagi ayat-ayat Al-Quran secara “mutually exclusive” samada ayat Muhkam atau ayat Mutashabih, tetapi secara “mutually inclusive” iaitu setiap ayat Al-Quran ada ke dua-dua unsur iaitu Muhkam dan Mutashabih.

“Makna Muhkam” yang ada di dalam setiap ayat Al-Quran adalah “ibu makna” atau makna pokok sesuatu ayat seperti hukum, sifat, peraturan, atribut, dan sebagainya yang akan memberitahu manusia ilmu-ilmu yang “menguatkan” atau “mengukuhkan”. Ianya merangkumi sifat kebesaran Allah SWT atau menunjukkan sifat kejadian sesuatu makhluk untuk mengukuhkan pengetahuan dan ilmu manusia. Makna muhkam adalah tetap dan tidak berubah. Oleh kerana maknanya yang tidak akan berubah dan perlu difahami maka, maknanya mestilah diambil dari ayat-ayat Al-Quran yang berbahasa arab, yang tidak diterjemah ke dalam bahasa asing.

Sementara “makna Mutashabih” adalah makna yang berasaskan konsep, atau makna yang seakan-akan sama, seakan-akan serupa. Mungkin lebih mudah kita panggil “ilmu konsep” yang akan membolehkan manusia menjana dan membina ilmu-ilmu terbitan (derived knowledge). Makna Mutashabih boleh diulang-ulang, boleh dilihat dari pelbagai sudut, boleh "dinaik-taraf", dan sebagainya. Sebab itulah hanya orang-orang yang mendalam ilmu sahaja mampu “melihat” atau mengkaji makna mutashabih.



Analogi
Katakan kita diberi 6326 biji buah “A”. Kemudian kita diberitahu kesemua buah “A” adalah buah anggur (11:1). Kita juga diberitahu kesemua buah “A” adalah juga buah tamar (39:23). Oleh itu kita mesti menerima hakikat bahawa buah “A” ada mengandungi ke dua-dua unsur iaitu “unsur anggur” dan “unsur kurma”.

Pemahaman dari perspektif “agama” ialah satu-satu ayatAl-Quran hanya boleh mempunyai 1 makna sahaja, samada muhkam atau mutashabih. Tidak boleh ada kedua-dua makna dalam satu ayat. Oleh sebab itu agak sukar bagi perspektif agama untuk memahami teori CEMI dan KCT.

Jangan Kelirukan Minda
Untuk masa sekarang, tolong lupakan dulu (bukan lupakan terus) pelbagai cara tafsir seperti lafziyah, harfiyah, mauduk, tematik, semantik, sintaktik, exegisis, bil ma’thur, bil ra’, dan sebagainya. Kita akan bincang semua ini pada waktu yang sesuai nanti, insyaallah.

Kepada para ulama tafsir yang muliakan, saya tidak mengatakan metod tafsir orang lain semuanya salah, saya juga tidak kata ianya betul, baik atau buruk. Saya tidak mengulas atau menuduh mana-mana method tafsir. Saya hanya memberitahu bagaimana hendak mengkaji dan memahami ayat-ayat Al-Quran dari kacamata “ICT”, bagaimana Al-Quran memampatkan ilmu, bagaimana “indexing” dan “cross-referencing” dalam Al-Quran, bagaimana “Al-Quran menjelaskan segala-galanya”. Kepada sesiapa yang suka buat “takwil” dipersilakan “wa tafadal wa ma’jura”, tetapi dari perspektif ICT, sama sekali tidak dibenarkan membuat “takwil”.

Contoh
Supaya jelas sedikit, mari kita melihat beberapa contoh. Kita ambil contoh ayat 51:1. Di dalam ayat ini ada mengandungi DUA unsur utama iaitu “Makna Muhkam” dan “Makna Mutashabih”. Mula-mula kita ambil “Makna Muhkam” yang membawa maksud: “Demi Az-Zaariyat yang membuat penaburan bersungguh-sungguh”.

Walaupun “makna muhkam” boleh diterjemahkan ke dalam bahasa asing, tetapi pada pendapat saya ianya lebih baik digunakan dalam bahasa asal, iaitu bahasa Al-Quran sebab Allah SWT telah menjanjikan bahasa Arab/Quran “tidak bengkok”, bahkan bahasa yang tepat, padat dan sistematik. Sekiranya diterjemah kepada bahasa asing, kemungkina besar “makna pokok atau ibu makna” boleh berubah atau disalah faham. Apabila “ibu makna” sudah tidak tepat maka “makna anak” juga akan menjadi tidak tepat, dan jauh tersasar.

Setelah mengeluarkan “ibu makna” (makna muhkam), maka makna mutashabih atau makna konsep boleh difikirkan dan dikaji dengan mendalam dengan menggunakan ilmu pengetahuan yang kukuh, dan logik akal yang sempurna.

Kembali kepada contoh: Setelah dikeluarkan dan difahami “ibu makna” atau “makna muhkam”, maka ayat ini (51:1) boleh dikaji untuk mengeluarkan “makna Mutashabih” atau “makna konsep” yang akan membawa makna: “Demi Angin yang terbang sekuat-kuatnya” atau boleh juga “Demi Elektron yang menaburkan Foton”.

konsep "angin" adalah terbang, maka makna konsep untuk "Az-Zaariyat" ialah "angin" iaitu makna berdasarkan “konsep” atau “makna yang hampir sama”, atau “seakan-akan serupa”. Sekali lagi saya ingatkan, tidak semua orang boleh memberi “makna konsep” tanpa pengatahuan yang mendalam, dan asas yang kukuh. Memberi makna konsep secara takwil (agak-agak) adalah ditegah dalam Al-Quran.

Apabila Saidina Ali r.a. memberi makna “angin” pada “Az-Zaariyat” sudah tentu beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dan asas yang kukuh. Dan apabila saya memberi makna “Elektron yang menaburkan Foton”, saya ada ilmu pengetahuan tentang ICT dan asas fizik (ada Ijazah dan 20 tahun pengalaman di bidang ICT). Tambahan pula dengan adanya mikroskop elektron, kita boleh buktikan "Az-Zaariyat"="Elektron" di dalam makmal.

Contoh Lain Muhkam/Mutashabih
Begitu juga dengan ayat 51:2. ianya mengandungi 2 unsur iaitu “makna muhkam”, dan “makna mutashabih”. Mula-mula kita keluarkan “makna muhkam” atau "ibu makna" iaitu “Demi Al-Hamilat yang membawa muatan yang banyak”. Di sini Allah SWT ingin memberitahu manusia bahawa ada satu hukum atau sifat kejadian “Al-Hamilat” yang membawa muatan yang banyak.

Selepas memahami makna muhkam, barulah kita boleh mengkaji unsur ke-dua iaitu “Makna Mutashabih”. Saidina Ali r.a. memberi makna “Al-Haamilat” sebagai “awan” di mana sebagaimana kita ketahui awan ini boleh membawa muatan yang banyak iaitu “air/wap” atau “hujan”. Ianya boleh diuji dalam makmal, dan boleh difikir dengan fikiran yang waras.

Zaman sekarang sudah ada banyak peralatan canggih yang membolehkan kita untuk mengkaji (dalam makmal) dan menjana “foton” supaya membawa muatan. Lihatlah bagaimana pancaran radio, TV, dan sebagainya. semuanya menggunakan "foton" atau gelombang elektromagnetik. Keadaan ini menyamai atau menyerupai makhluk Allah “Al-Hamilat” seperti yang dikahendaki dalam ayat 51:2 untuk membawa muatan atau data yang banyak. Maka kita boleh memberi makna mutashabih "Demi Foton yang membawa data yang banyak".

Untuk ayat 51:3 dan 4, tuan/puan boleh buat sendiri, apa makna Muhkam dan apa makna Mutashabih.

Makna Mutashabih boleh diulang-ulang (berubah)
Soalan: Kenapa tafsir atau makna “Az-Zaariyat” boleh bertukar-tukar, sekejap “angin” dan sekejap “Elektron”, dan di masa akan datang mungkin makna lain pula. Mana satu yang betul?

Jawapan: Al-Quran membenarkan “makna mutashabih” diulang-ulang. Cuba perhatikan ayat 39:23 “... mutashabihan mathani ...” yang bermaksud “konsep yang berulang-ulang”. Secara logiknya memang begitu. Makna konsep memang luas sebab ianya makna yang seakan-akan serupa, nampak macam sama. Misalkan kita ambil makna konsep “kereta sport”, maka ada yang terbayang “porsche”, ada yang nampak “Ferari”, “Lamborghini”, “Lotus”, dan sebagainya. Semuanya membawa “makna konsep” kereta sport.


Formula:
Ayat Quran => Makna Muhkam => Makna Mutashabih 1 => Mutashabih 2 => Mutashabih 3 ....
Ayat 51:1 => “Az-Zariyat” => “Angin” => “Elektron” => ???
Ayat 51:2 => "Al-Hamilat" => "Awan" => "Foton" => ???

Sekarang kita faham bahawa setiap ayat Al-Quran mempunyai dua unsur atau kategori iaitu “Makna Muhkam” dan “Makna Mutasahabih”. Makna muhkam adalah “ibu makna” yang mesti dikeluarkan dan difahami terlebih dahulu, sebelum mengeluarkan makna mutashabih (makna konsep).

Makna muhkam tidak boleh ditukar-tukar, iaitu kukuh dan tetap. Sementara makna mutashabih (konsep) boleh ada banyak sebab ianya berbentuk konsep. Makna konsep ini tidak boleh dibuat secara takwil (agak-agak), hanya orang yang mempunyai ilmu yang mendalam sahaja yang boleh mengeluarkan makna mutashabih ini.


Kesimpulan

Kita telah melihat konsep baru Muhkam/Mutashabih, yang berlainan dari apa yang terkandung dalam kebanyakkan kitab ulumul Quran.

Dalil yang kita gunakan adalah berdasarkan ayat-ayat Quran seperti 11:1, 39:23, dan 3:7, dan juga sejarah yang ditunjukkan oleh Saidina Ali r.a. semasa menafsir ayat-ayat 51:1-4.

Pemahaman yang jitu terhadap konsep Muhkam/Mutashabih ini adalah tersangat penting sebab ianya adalah salah satu dari mukjizat Al-Quran. Al-Quran dapat menjelaskan segalanya-galanya dengan memampatkan ilmu 10 lautan-dakwat ke dalam hanya sebuah Al-Quran. KCT dan teori CEMI hanya boleh difahami dengan memahami konsep baru Muhkam/Mutashabih.

Pelbagai kaedah dan cara telah ditunjukkan untuk menjelaskan konsep baru Muhkam/Mutashabih. Konsep baru ini adalah dari perspektif ICT. Kita menghormati konsep lama, dan kita tidak mengatakan siapa yang betul dan siapa yang salah.

Wallahu a’lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar