Pengenalan
Sekiranya umat Islam mengkaji Al-Quran dan menjana ilmu-ilmu dari Al-Quran, maka umat Islam akan jauh maju kehadapan. Jauh meninggalkan negara-negara maju yang ada sekarang!
Pada siri yang lepas kita didedahkan dengan penemuan terbaru dari kitab suci Al-Quran yang menjelaskan ICT (Information and Communication Technology) iaitu dalam surah Az-Zaariyat 51:1-11. Kita telah mengkaji ayat 51:1 yang mengandungi 3 patah perkataan ‘Wau’, ‘Az-Zaariyat’, dan ‘Zarwa’ di mana Allah menjelaskan satu makhluk kejadianNya yang penting kepada manusia iaitu ‘Az-Zaariyat’ yang Menabur dengan teramat banyak dan Menerbang dengan teramat pantas.
Mistri makna perkataan ‘Az-Zaariyat’ yang menjadi tanda tanya sejak zaman para sahabat lagi kini telah terungkai apabila ahli ICT telah menjumpai benda yang dijelaskan dalam ayat 51:1 dengan meggunakan ‘Algorithm Mafatih Al-Ghaib’ yang telah dibentangkan pada satu konferans antarabangsa anjuran Universiti Malaya. Pada siri ini kita tidak akan membincangkan tentang Algorithm ini tetapi hasilnya iaitu memang wujud mahluk yang Allah jelaskan sebagai ‘Az-Zaariyat’.
Sebelum kita melihat ayat seterusnya (51:2), lebih baik kita mendalami sedikit lagi ayat 51:1 perkataan ‘zara’ (Az-Zaariyat dan Zarwa datang dari perkataan yang sama iaitu Zara). Allah SWT menggunakan perkataan zara sebanyak 3 kali di dalam kitab Al-Quran. Pada surah Al-Kahfi (ayat 45) digunakan dalam bentuk perbuatan iaitu ‘tazruu-hur-riyaah’ yang bermakna ‘angin meniup atau menaburnya’. Dan 2 kali digunakan dalam 51:1 ‘Demi Penabur dan Penerbang yang menabur/terbang bersungguh-sungguh’. Mungkinkah ayat 51:1 ini Allah ingin menjelaskan tentang angin?
Ar-Rih (Angin)
Mungkin ada yang bertanya ayat 51:1 ini sepatutnya bermakna ‘Demi Angin yang terbang’. Perkataan ‘Angin’ dalam bahasa arab ialah Rih (jama’nya riyah = angin-angin). Di dalam Al-Quran terdapat kira-kira 31 kali (yang berasaskan kata dasar ‘raaha’). Lazimnya, Allah menggunakan perkataan ‘Ar-Rih’ bukannya ‘zara’ apabila merujuk kepada angin. Tambahan pula dari segi nahu, ianya akan memberi makna angin yang bertiup sekencang-kencangnya, dan ini sudah tentulah menjadi ribut taufan bukannya angin lagi. Lagipun ianya kelihatan tidak kemas apabila dikaji dalam konteks ayat-ayat seterusnya dengan menggunakan ‘Fa’ sebagai penyambung contohnya (51:3) dengan adanya ribut yang tersangat kencang sudah tentu kapal-kapal tidak dapat belayar dengan mudah.
Allah SWT telah menjelaskan bahawa setiap patah perkataan dalam Al-Quran adalah jelas (tidak ada yang kabur) dan tidak ada yang sia-sia. Allah SWT mengatakan ayat-ayat Al-Quran ada dua jenis iaitu Muhkamat dan Mutashabihat, dan ayat jenis mutashabihat (yang serupa, seakan-akan, berbentuk konsep) tidak boleh dikaji secara takwil (agak-agak) tetapi mestilah dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dan mendalam.
Oleh itu tanpa ilmu pengetahuan ICT, Sains, dan Bahasa Arab tidak mungkin seseorang dapat menguraikan makna ayat-ayat ini (51:1-11) dengan tepat. Sesiapa yang hendak mengkaji ayat-ayat Al-Quran mestilah merujuk kepada ayat-ayat asal (dalam bahasa arab) dan meneliti konteks bahasa dan nahu sebab bahasa arab itu amatlah berfungsi, sistematik dan tepat, lebih baik dari bahasa komputer!
Caj Elektrik
Gambar: Apabila elektron (kuning) melompat keluar dari orbitnya ke orbit yang tenaga lebih rendah (mendekati nukleus (merah)) maka ianya akan membebas tenaga foton.
Ketika mengkaji caj eletrik, ahli sains mendapati semasa elektron melompat keluar orbitnya terdapat makhluk yang bersifat seperti yang dijelaskan dalam ayat 51:1. Apabila ini berlaku (elekron melompat keluar) akan melepaskan atau membebaskan foton secara bertaburan berjumlah kira-kira 1,000,000,000,000,000 foton/saat dan bergerak pada kelajuan 300,000,000 meter/saat. Subhanallah!
Tidakkah ini satu taburan yang sebanyak-banyaknya, dan tidakkah ini penerbangan yang selaju-lajunya? Tidakkah ini yang dihasilkan oleh ‘Az-Zaariyat’?
Al-Maf’ulul Mutlaq
Ketika saya berbincang dengan Datuk Mufti W. Persekutuan (SS Datuk Wan Zahidi, yang pakar dalam Bahasa Arab dan Al-Quran), beliau berkata apabila Allah menggunakan Al-Maf’ulul Mutlaq (merujuk kepada ayat 51:1 dan 51:3) bermakna ada sesuatu yang hebat atau tinggi ilmunya yang hendak Allah jelaskan kepada manusia. Beliau menambah, kaedah nahu ini memang tinggi dan dalam maknanya, serta mengandungi makna yang tersirat.
Menerangkan Objek bukannya Subjek
Apabila ayat dibina dari al-maf’ulul Mutlaq ianya cuba menerangkan tentang objek atau benda yang kena buat. Allah SWT menjelaskan benda yang bertaburan dengan banyak dan berterbangan dengan selaju-lajunya itu adalah objek (benda yang kena buat) iaitu tenaga foton, dan bukannya subjek (elektron, benda yang membuat). Lihatlah, kalau kita mengkaji tentang subjek tentulah kajian kita akan salah dan tersasar sebab bilangan elektron dalam satu-satu atom adalah terhad (tidak sebanyak-banyaknya). Tambahan pula elektron bergerak mengelilingi nukleus dalam orbit masing-masing (tidak berterabur). Kita juga tidak tahu berapa kelajuan elektron bergerak (semasa mengelilingi nukleus atau semasa melompat keluar orbit), samada ianya perlahan atau selaju-lajunya?
Dengan mengetahui nahu, ayat 51:1 ini menjadi jelas kerana sifat benda yang ditabur dan terbang dengan pantas itu ialah sifat objek (benda yang kena buat atau terhasil) bukannya sifat pembuat (elektron) yang melompat keluar orbit.
Cuba fikir bagaimana Al-Quran mampu menjelaskan perkara yang canggih dan kompleks ini hanya dengan 3 patah perkataan yang dibina dengan penggunaan al-maf’ulul Mutlaq?
Kesimpulan
Walaupun perbincangan kita kali ini agak teknikal, namun saya berharap ianya dapat difahami dengan mudah. Kita mengkaji ayat 51:1 dengan melihat perkataan alternatif ‘Ar-Rih’, dan melihat kaedah nahu al-maf’ulul mutlaq untuk menerangkan apabila elektron melompat keluar dari orbitnya akan menaburkan tenaga foton yang teramat banyak (10^15 foton sesaat) dan terbang dengan teramat laju 300,000 km/saat.
Pada siri akan datang kita akan mengkaji ayat 51:2 bagaimana ‘Az-Zaariyat’ bertukar menjadi ‘Al-Haamilat’(pembawa data/informasi), (51:3)dan 'Al-Haamilat' menjadi 'Al-Jaariyat' (peluncur, cuba anda fikir adakah ia gelombang-mikro atau medan magnet)?
Insyaallah, Kita juga akan mengkaji bagaimana AL-Quran boleh menyuruh manusia membuat perisian komputer (51:4). Subhanallah Maha Suci dan Maha Agong Allah SWT!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar