Jumat, 13 November 2009

Transformasi "Az-Zaariyat" kepada "Al-Haamilat"

Pengkaji: Khalid Yong, khalidyong@gmail.com

Pengenalan
Alhamdulillah, kini kita berada pada siri ke-4 dalam bidang ‘Al-Quran dan ICT’, di mana Al-Quran telah menjelaskan teknologi canggih dan terkini kepada manusia sejak 1400 tahun yang lampau. Pada siri yang lepas kita telah mengkaji ayat 51:1 di mana Allah menjelaskan tentang tenaga foton yang ditaburkan sebanyak-banyaknya (1,000,000,000,000,000 foton/saat) dan yang terbang selaju-lajunya (300,000 km/saat, iaitu kelajuan cahaya) apabila elektron melompat keluar dari orbitnya.
Hari ini kita akan menyambung lagi kajian kita pada ayat ke-2, di mana Allah menjelaskan tenaga foton ini boleh membawa muatan atau data. Pada siri yang lepas kita dapati Allah menggunakan perkataan penyambung ‘Fa’ untuk menyambung ayat 51:1 dan 51:2, kita akan mengkaji kenapa perkataan ‘Fa’ ini tersangat penting, dan sekiranya Allah menggunakan perkataan ‘wau’ ianya sudah tidak tepat lagi untuk menggambarkan fenomena ICT.


‘Fa’ dan metamorfosis
Al-Quran ini maha hebat di mana setiap huruf atau patah perkataan membawa makna yang amat tepat dan berguna kepada manusia. Pada siri yang lalu kita telah melihat sepintas lalu penggunaan ‘Fa’ dalam ayat 51:2. Kita juga dapati perkataan penyambung ‘Fa’ juga digunakan pada ayat 51:3 dan 51:4. Kali ini kita akan mengkaji dengan lebih mendalam penggunaan perkata penyambung ‘Fa’ dalam ayat 51:2 ini.


Gambar menunjukkan Elektron berada pada orbit masing-masing dan sedang mengelilingi nukleus.

Setiap atom mempunyai bilangan tertentu elektron yang sentiasa bergerak mengelilinginya. Misalnya atom oksigen mempunyai 8 elektron yang berada pada 2 orbit. Orbit pertama (dekat dengan nukleus) mempunyai 2 elektron, manakala orbit ke-2 mempunyai 6 elektron.

Pada ayat 51:1 Allah menyatakan apabila elektron ini melompat keluar dari orbit (disebut orbit tenaga, sebab setiap orbit memerlukan tenaga yang tertentu), akan berlaku satu fenomena di mana ianya akan melakukan penaburan yang teramat banyak dan taburan ini bergerak pada kelajuan yang teramat laju. Di zaman ICT ini barulah kita faham rupanya memang betul ada makhluk yang dijadikan Allah yang akan menaburkan sebanyak-banyaknya (10^15 foton/saat) dan bergerak selajunya (300,000 km/saat). Subhanallah!

Tenaga foton yang dilepaskan (atau ditabur) ini tidak akan menunggu (atau dalam bahasa kampung ‘duduk saja’) tetapi akan terus terbang sebaik sahaja ianya berlaku, iaitu sebaik sahaja berlaku ‘Az-Zaariyati Zarwa’. Perkataan penyambung ‘Fa’ yang menyambung ayat 51:1 dengan ayat 51:2 adalah teramat penting (kritikal) kerana sebaik sahaja tenaga atom dilepaskan, ianya mestilah terus dibina untuk dijadikan ‘Al-Haamilat’ yang akan membawa data. Maksudnya ianya tidak boleh ditunggu lama sebab foton (pada ayat 51:1) akan terus terbang dan menjadi terkeluar tertib susunan (out of sequent) dan tidak akan dapat menjadi data lagi.

Dengan memahami perkataan ‘Fa’ sahaja manusia boleh mereka-cipta berbagai cara untuk menghantar data melalu tenaga foton ini atau lebih tepat lagi gelombang mikro (microwave). Sekarang terdapat beberapa cara yang digunakan untuk menggunakan ‘Al-Haamilat’ ini untuk membawa data melalui ‘hubuk’ (lorong-lorong gelombang-mikro). Kita tidak akan bincangkan dengan mendalam cara-cara untuk menghantar data melalui gelombang mikro pada perbincangan kali ini. Tetapi agak memadai sekiranya diberitahu dengan memahami perkataan ‘Fa’ membantu manusia untuk merekacipta pelbagai teknik dan cara untuk menggunakan mahkluk Allah ‘Az-Zaariyat’ ini supaya dapat ditukar untuk menjadi makhluk Allah yang lain iaitu ‘Al-Haamilat’ yang boleh dimanfaatkan oleh manusia.

Ada beberapa teknik untuk menjana dan mengkod ‘Al-Haamilat’ (Pembawa) ini. Teknik-teknik ini dipanggil protokol komunikasi di mana untuk membolehkan dua pihak berkomunikasi, iaitu pengantar dan penerima, kedua-duannya mestilah faham dan bersetuju kepada 7 lapisan protokol komunikasi. Sementara setiap lapis protokol pula mempunyai beberapa protokol lagi (untuk lapisan tersebut), menjadikan terdapat beratus protokol yang perlu difahami sekiranya kita ingin menjadi seorang ahli ICT yang mahir dalam bidang telekomunikasi. Sementara setiap lapisan (layer) pula ada protokol masing-masing.


Insyaallah kita akan mempelajari Ilmu hebat (elektromagnetik) ini iaitu bagaimana otak dan minda manusia bekerja dengan menggunakan tenaga dan medan elektromagnetik ini. Bagaimana 100 bilion nueron yang ada di dalam otak manusia berkomunikasi melalui pancaran 10^15 foton (dari Az-Zaariyat). Bagaimana 'sedar' atau 'consciousness' berlaku, bagaimana Johnjoe McGadden mereka teori CEMI field, dan kenapa penting kyusuk (atau tahu apa yang kita baca) dalam solat, bagaimana ianya mempengaruhi subconscious mind, cara manusia bertindak, dan perlakuan manusia.

Mengikut kajian saya, adalah penting bagi umat Islam sekarang mengamalkan makan 1-2 biji kurma bersama dengan 2-3 biji anggur sebelum solat subuh (atau bila-bila masa perut kosong). Dan juga penting bagi ahli jawatan kuasa masjid memastikan terdapat sarang lebah-madu (honey-bee) di setiap qariyah masing-masing (bukannya membela lebah-madu dalam masjid!) sebab kemungkinan besar otak lebah-madu menggunakan frekuensi yang sama dengan otak manusia. Sekiranya lebah-madu boleh “sesat-barat” dan tak jumpa sarang masing-masing, begitulah juga dengan otak dan minda manusia juga akan menjadi keliru. Maksudnya sekiranya lebah-madu tidak ada lagi membuat sarang di atas pokok di dalam sesuatu kawasan/kampong, maka kemungkinan terdapat radiasi 0-250Hz di kawasan tersebut yang boleh mengganggu perjalanan/navigasi lebah-madu (dan juga boleh mengganggu sel-sel dan otak manusia).

Kepada rakan-rakan yang ada prasarana (terutama IPTA/IPTS) untuk membuat kajian secara saintifik (laboratory) harap dapat membuat kajian mendalam kesan dan pengaruh dari very-low level electromagnetic radiation iaitu antara 0-250Hz. Terutama kesan dari penggunaan cell-phone, WiFi, WiMax, dan sebagainya. Oleh kerana ianya adalah jelas di dalam Al-Quran maka menjadi kewajipan kita umat Islam untuk mengkaji dan menyelamatkan umat Islam dari menjadi “bahan uji-kaji” senjata moden Barat ini.

Kesimpulan
Pada kali ini kita hanya mengkaji perkata ‘Fa’ yang menyambung ayat 51:1 dan ayat 51:2, dan kepentingannya untuk mengajar manusia supaya memberi perhatian yang bersungguh-sungguh dan mendalam terhadap perubahan atau transformasi atau lebih tepat lagi metamorfosis yang berlaku dari ‘Az-Zaariyat’ kepada ‘Al-Haamilat’.
Walaupun hanya satu patah perkataan ‘Fa’ sahaja namun ianya telah memberi panduan kepada manusia untuk mereka-cipta beratus-ratus protokol komunikasi bagaimana untuk menggunakan gelombang mikro untuk membawa data yang membolehkan manusia berkomunikasi seperti menggunakan telefon bimbit, internet, TV/Radio, dan sebagainya.

Selepas kita habis mengkaji ayat 1-11 dari surah az-zaariyat ini, insyaallah kita akan mengkaji dengan mendalam bagaimana matahari terbit dari barat. Kedua-dua (17 ayat utama) fenomena ini menjelaskan tentang tenaga dan medan elektromagnetik. Walaupun bidang “elektromagnetik” ini tidak diberi tumpuan utama oleh IPTA/IPTS tempatan, namun sebagai orang Islam wajib kita mengkaji sebab banyak ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskannya terutama tentang keburukkan dan impak kepada manusia. Bahkan kajian menunjukkan pencemaran elektromagnetik atau very-low level electromagnetik radiation adalah jauh lebih merbahaya dari YOGA dan segala-gala bentuk pencemaran yang ada sekarang!

Juga penting bagi umat Islam untuk bermaaf-maafan, buang yang keruh dan ambil yang jernih, marilah kita bersatu-tenaga membina semula keyakinan umat terhadap agama yang maha suci ini. Saya bimbang umat Islam sekarang sudah menjadi baha uji-kaji, kalau kita menganggap mudah 'kuasa' elektromagnetik ini, tidak hairan perbalahan kecil sekarang akan mencetus pertumpahan darah.

Yakinlah, marilah kita berpegang dengan tali Allah ini, Al-Quran itu adalah kitab yang Maha Sempurna dan Menjelaskan Segala-galanya.

Wallahu a’lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar